IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami ketiadaan saluran oksigen ke jantung memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan yang tinggi.
Ibunya Hasnah Noordin, 36, berkata anaknya Muhammad Al-Fatah Shahzwan Mohamad Rashid, 2, dari Tambun di sini mula dikesan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan menyebabkan tumbesarannya terbantut.
"Jika kita yang normal mempunyai empat saluran tetapi dia hanya ada tiga saluran sahaja...doktor kata kena buat pembedahan peringkat demi peringkat kerana sebelum ini sudah tujuh kali pembedahan dilakukan.
"Saya meminta bantuan daripada orang ramai kerana kami sudah tidak mampu menampung kos pembedahannya yang terlampau tinggi, kadang-kadang nak makan pun kami minta bantuan rakan-rakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini Ahad.
Hasnah yang juga seorang suri rumah berkata pendapatan suaminya Mohamad Rashid Abdullah, 34, sebagai pemandu teksi sebanyak RM50 sehari tidak mencukupi bagi menampung kos rawatan dan perbelanjaan harian mereka sekeluarga.
Katanya sebelum ini dia mendapat bantuan daripada agensi swasta serta zakat sebanyak RM50,000 untuk pembedahan jantung anaknya yang dijalankan pada bulan lalu.
"Anak saya memerlukan kos untuk ubat-ubatan dan susu khas sebanyak RM600 sebulan yang mana susu khas itu hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja.
"Kadang-kadang bila dah tak ada duit saya hanya memberi dia minum susu biasa sahaja tapi muka dia akan nampak pucat," katanya sambil menambah dia perlu menampung perbelanjaan tujuh lagi anaknya dan dua daripadanya masih bersekolah.
"Saya harap ada pihak yang sudi membantu saya sebab memang saya tak ada duit kerana kos pembedahan terlampau tinggi dan masa untuk mencari duit sangat singkat saya tak dapat nak cari," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Hasnah di talian 010-3892135 atau menyalurkan bantuan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya 08013-02-3536868 atau akaun Maybank milik suaminya 158015175733.
No comments:
Post a Comment